KUALA LUMPUR, 7 Nov — Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menegaskan bahawa perintah pengampunan bersyarat yang membolehkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah adalah jelas dan tidak sepatutnya menimbulkan kekeliruan tafsiran sehingga pelaksanaannya terus tidak menentu.
Menerusi kenyataan Istana Negara bertarikh hari ini yang dikongsikan melalui akaun Facebook rasmi Sultan Ibrahim, Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa semua syarat dalam perintah pengampunan bersyarat tersebut telah dipenuhi.

“Memandangkan semua syarat di dalam perintah pengampunan bersyarat itu telah dipenuhi, sebarang hujah mempertikaikan perintah tersebut adalah menjurus ke arah mengingkari perintah KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong,” menurut kenyataan itu.
Penegasan tersebut hadir selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) mengumumkan penangguhan sementara pelaksanaan tahanan di rumah Najib pada 6 November bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai tafsiran perintah pengampunan bersyarat dan kesan perintah pelepasan mahkamah.
Menurut kenyataan Istana Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya telah meneliti petisyen Najib pada 18 September 2026 di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Mesyuarat yang turut dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan dan Peguam Negara itu telah memberikan nasihat sewajarnya kepada Seri Paduka Baginda.
Susulan itu, Sultan Ibrahim memerintahkan supaya Najib menjalani baki hukuman pemenjaraan secara tahanan di rumah, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Kenyataan tersebut menegaskan perintah pengampunan bersyarat itu jelas, nyata dan tanpa sebarang ambiguiti, serta tidak berkait dengan mana-mana kes lain terhadap bekas Perdana Menteri berkenaan.
Istana Negara turut menegaskan bahawa kekeliruan tafsiran tidak sepatutnya timbul sehingga menyebabkan ketidakpastian berpanjangan terhadap pelaksanaan keputusan yang telah diperkenankan.
Kuasa pengampunan, menurut kenyataan itu, merupakan prerogatif Diraja yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Pelaksanaan kuasa tersebut hendaklah dihormati selaras dengan kedudukan Raja Berperlembagaan dan prinsip kedaulatan undang-undang.
Terdahulu, AGC menjelaskan bahawa penangguhan sementara itu bertujuan memastikan titah pengampunan dan perintah mahkamah berkaitan dilaksanakan dengan tepat, teratur serta selaras dengan kedudukan undang-undang. Sepanjang penangguhan tersebut, Najib dikekalkan di tempat tahanan sedia ada.
Namun apa yang meragukan mengapa Peguam Negara baru hari ini bertindak sedangkan titah dan pengampunan Najib sudah berlaku sejak dua bulan lalu.
Najib telah menjelaskan denda RM50 juta pada 6 November, memenuhi antara syarat pengampunan bersyarat yang diperkenankan pada 18 September lalu bagi membolehkannya menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Sebelum ini berkaitan pembebasan Najib, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, menegaskan akan meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta sebaik sahaja Datuk Seri Najib Razak, tiba di kediamannya untuk menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah. Setakat ini Anthony Loke belum meletak jawatan kerana Peguam Negara berjaya menangguhkan hukumannya. Apakah peguam negara mahu melindungi Anthony Loke dari meletak jawatan?





